Tuesday, July 30, 2013

Jangan Dirindui


1


HARI takkan sentiasa cerah. Ada kalanya hujan berpetir sehingga mendatangkan bencana kepada penghuni-penghuni bumi. Begitulah yang aku rasa buat masa ini. Musibah yang melanda bagaikan sukar untuk mereka menerimanya.

Sesaat sepasang mata yang indah itu melihat tubuh kecil yang kemas memeluknya, Suraya. Suraya yang senang dipanggil Aya itu menangis teresak-esak di dalam pelukan gadis ini. Sesaat kemudian pandangan matanya beralih kepada Khairul atau lebih senang dengan panggilan Kay yang duduk berhadapan dengan mereka. Air mata sang jejaka itu mengalir tanpa henti. Suhana bagaikan dikejutkan dari khayalan apabila sepupunya Zaini atau lebih senang dipanggil Zen memanggil namanya…. Ana.

“Ana… Takziah. Aku tak sangka mak su akan pergi meninggalkan kita,” ucap Zen. Begitu halus suaranya mendatar. Mulut ini bagaikan terkunci daripada membalas kata-kata Zen.

Ana memandang wajah Zen. Wajah yang amat dirindui kini ada di depan mata. Seharusnya Ana gembira kerana dapat menatap wajah itu setelah tiga tahun dia pergi ke Australia meninggalkan tanah air. Kembalinya ke sini hanya setelah mendapat berita tentang kemalangan mak dan ayah.

“Dah takdir Zen,” ucap Ana kembali.

Kini hanya tinggal Zen yang masih menemani mereka bertiga. Aya tidak melepaskan pelukannya. Mereka harus tabah. Perjalanan tidak berhenti di situ, banyak yang akan ditempuhi selepas ini.

Kay menghampiri Ana dan Aya. Dia mula mengesatkan air matanya.

“Dah jom balik. Kita nak uruskan lagi tahlil untuk malam nanti”.

Mereka hanya mengikuti jejak Kay. Sejenak Ana menoleh ke belakang lagi. Tidurlah mak, abah dan ayah. Tenanglah kalian di sana. Mak dikebumikan bersebelahan dengan kubur abah.

Ana melabuhkan punggung duduk di tempat duduk belakang bersama Aya. Zen mengambil alih Kay untuk memandu kereta kerana Kay kelihatan agak lemah. Berpuluhan SMS diterima tentang ucapan takziah. Ana hanya mengendahkannya, malas untuk menjawab.

“Adik nak cuti dua hari dari sekolah. Adik belum rasa nak pergi ke mana-mana buat masa ini. Boleh tak kak?”

Ana merenung wajah sayu adiknya. Peperiksaan sudah semakin hampir. Lain pula dengan Ana, kebetulan dua hari yang mendatang tidak ada kuliah kerana memang untuk semester ini kuliahnya hanya hari Isnin dan hari Rabu.

“Adik jangan tak datang sekolah lama-lama. Dua hari itu akak harap adik dapat kuatkan semangat. Kalau adik dapat markah cemerlang, pasti arwah mak dan abah akan bahagia di sana. Walaupun mereka tiada di sini, mereka sentiasa ada bersama kita. Ingat, ini harapan mereka. Faham?”

Kata-kata nasihat diberikan sebagai penguat untuk Aya. Aya hanya menganggukkan kepalanya tanda dia faham setiap ayat yang diungkapkan.

Setibanya mereka di rumah ayah, memang agak berbeza rasanya. Rasa kosong. Ketika Ana berdiri tepat di muka pintu, dia mengimbas kembali kenangan sepuluh tahun yang lalu.

“Selamat datang ke vila ayah!”

Terngiang-ngiang masih di telinga suara ayah yang berdiri di pintu sambil memegang erat tangan Kay.

“Kay, mulai hari ini Kay ada mak dan adik-adik baru! Ini Suhana dan Suraya! Panggil je Ana dan Aya…”

Di situlah titik permulaan kehidupan baru Ana setelah abah meninggal kerana lemas.

Ana segera menghayun langkah mengemaskan rumah yang agak berselerak oleh tetamu-tetamu yang hadir tadi. Zen yang berhajat untuk bermalam di vila itu turut membantu Ana mengemaskan yang mana perlu sebelum acara tahlil nanti. Kay pula entah hilang ke mana. Mungkin dia sudah masuk ke dalam bilik tidurnya.

Ya Allah… Kuatkanlah hati ini. Mak, abah… Ana sayang mak dan abah. Terima kasih kerana telah memberi Ana dan Aya peluang hidup. Untuk ayah, terima kasih kerana menjadi ayah Ana.






MALAM yang suram diiringi dengan bacaan Surah Yaasin dan tahlil bergema kedengaran di pelusuk ruang tamu. Saudara-mara banyak yang datang. Alhamdulillah, mereka masih ada di sini menemani.

Ketika para tetamu sedang menikmati hidangan makanan, Ana mengatur langkah masuk ke dapur. Sejak dari siang Ana belum menjamah makanan. Ternyata Zen turut mengikut jejak langkah Ana ke dapur.

“Makanlah sikit Na…”

“Tak… Zen makanlah. Bila nak balik Australia?” soal Ana. Entah kenapa soalan itu yang ditanyakan.

“Na tak suka Zen lama-lama di sini?”

“Bukan macam tu. Kan selama tiga tahun Zen di sana, Zen tak balik. Paling-paling pun family Zen yang pergi sana terutama waktu raya. Kalau Zen belajar sepuluh tahun agaknya sepuluh tahun Zen tak balik!”

Zen diam seketika. Rasa bersalah mengurung di jiwa Ana buat seketika kerana tidak dapat menahan emosi dengan berkata kasar kepada Zen.

“Janganlah marah, Ana. Maafkan Zen…”

Hanya itu yang mampu diungkapkan dari Zen. Maaf.

Lantas Ana memalingkan pandangannya ke tempat lain. Tidak sanggup untuk menatap seraut wajah Zen sedangkan jauh direlung hati, Ana berharap dia berkata sesuatu walaupun hanya sekelumit bait ayat.

“Na, bukan Zen tak nak balik. Cuma… Dulu…”

Ayat Zen hanya tergantung di situ setelah kedengaran di cuping telinga suara Kay memanggil-manggil nama Ana. Perbualan mereka hanya dibiarkan tergantung begitu. Secepatnya Ana pergi mendapatkan Kay yang berdiri di pintu utama vila.

“Ni Aunty Mariam, kawan mak. Dia nak balik,” ucap Kay.

Ana menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Oh… terima kasih kerana sudi hadir!”

Tangan Aunty Mariam lantas mengusap pipi Ana dengan lembut. Jatuh perasaan simpati terhadap Ana dan Aya. 

“Muka Ana hampir persis arwah mak ketika dia muda-muda dulu. Ada beza sikit. Hidung Ana mancung, just like your dad. Tabahkan hati ye sayang. You can call me at anytime kecuali time tidurlah. Kalau emergency sangat, time tidur pun okey. Ini card aunty, call aunty tau!”

Sekeping kad kecil dihulurkan. Hanya sebuah senyuman terukir dibibir Ana, senyuman terpaksa. Ana tidak menyambung kata-katanya. Kay menampakkan gaya selamba, tiada senyuman, tiada berbual bicara. Dia meninggalkan Ana dan saudara-mara yang lain untuk melayan tetamu yang masih belum pulang. Bayangannya lesap begitu sahaja.

Langkah longlai yang diatur oleh Aya menuju ke meja di ruang tamu menarik perhatian beberapa manusia yang kebetulan  berada berhampiran dengannya. Memang sudah dijangka akan apa Aya akan lakukan.

Perlahan-lahan tangan kanan Aya mencapai gambar dia bersama mak, abah dan kakaknya manakala tangan kiri mencapai gambar ayah bersama Kay.

“MAK!!!!!!!!!!!!!!”

Jeritan Aya kedengaran di seluruh pelusuk ruangan. Badannya terkulai di atas lantai sambil memeluk kedua-dua gambar itu. Zen yang kebetulan berada tidak jauh dari situ lantas mendapatkan Aya.

“Aya! Ya Allah! Jangan macam ni Aya! Manalah kakak kamu ni, Ana?!!!”

Kedengaran suara jiran, Kak Faridah memanggil-manggil nama Ana. Aya menangis teresak-esak. Zen dengan sekuat tenaganya membangunkan Aya.

“Aya, dengar cakap Abang Zen. Aya kena kuat. Semua yang hidup akan kembali kepadaNya. Kita ini milik Dia. Kita tidak tahu bila masanya, kita kena standby. Aya dah cukup bekal tak? Abang Zen masih tak cukup. Kak Ana kamu masih tak cukup. Kay pun sama. Apa mereka sedia kalau besok mereka dijemput? Rasanya tidak. Apa Aya sedia?”

Percakapan Zen kedengeran jelas dan nyata di telinga semua yang hadir, terutama Ana. Ana hanya tersenyum sebab ayat itulah dia boleh bangkit setelah abah meninggal. Kata-kata penguat dari Zen, masih segar diingatan. Sejak itu dia mula rapat dengan Zen dan mula menyimpan perasaan yang sememangnya tidak pernah diungkapkan oleh Ana.

“Aya takut abang!”

“Aya tengok abang. Kita ni harus teruskan hidup. Kalau Aya terus menangis nanti amal ibadat Aya akan tergendala dan Aya tidak ada peluang untuk mendoakan mereka di setiap solat sebab Aya membuang masa untuk menangis. Benar, kita boleh mendoakan mereka bila-bila masa tapi kalau solat dan baca Al-Quran untuk mereka, mereka di sana akan diterangi oleh bacaan-bacaan kamu. Tak begitu, Aya?”

Aya mengangguk-anggukkan kepalanya. Ana mendakapnya dari belakang dengan seerat-eratnya. Kini dia harus menjaga Aya, satu-satunya tanggungjawab yang tertinggal. Ana memandang Zen yang sedari merenung Ana dengan satu renungan lain. Renungan ‘merindu’.

Ana, Zen rindu sangat dengan Ana. Wajah ini yang Zen rindukan selama tiga tahun ini. Hati Zen sempat merintih bermonolog mengungkapkan perasaan rindunya terhadap Ana.



No comments:

Post a Comment